Tarsonian mjbookmaker by: http://jowo.jw.lt Suasana riuh rendah menyambut kehadiran angkatan perangku di perkhemahan manusia berbangsa Aurora. Sedikit unsur kesangsian mewarnai suasana perasaan lautan manusia ini lantas membisikkan aura waspada. Buat seketika, aku terfikir untuk gementar. Tanganku memegang ulu Zaradilan, pedangku yang tidak pernah membiarkan senjata musuh hinggap ke tubuh. Aku mengikuti langkah Azkram menghala ke arah tempat seseorang dimana aku telah diutuskan kepadanya. Aku cuba melemparkan senyuman kepada beberapa orang yang berada di sekitar, namun mungkin tak cukup untuk menghilangkan wajah sangsi itu. Ah, aku ini makhluk Tarsonis. Mungkin selama ini Tarsonian hanya wujud di dalam dongeng manusia-manusia aurora, tetapi kini sejuta mata menjadi saksi kewujudan bangsaku. Mereka melihat rentak langkah Tarsonian dalam kekaguman. Akhirnya, aku sampai di sebuah khemah besar yang terletak di bawah sebatang pokok Rumdesia. Azkram mendahului langkah perjalanan. Beberapa orang Aurora dewasa kelihatan gembira tatkala menerima kedatangan Azkram. Dari raut wajah tampak mereka inilah merupakan pembesar-pembesar puak Aurora. Kebolehan betazoid dalam hatiku merasakan terbit satu tandatanya dan seribu kehairanan telah wujud di dalam hati mereka setelah melihat siapa yang mengiringi kepulangan Azkram. Namun Azkram membiarkan cetusan kehairanan itu bermain di minda mereka lantas membawa terus langkah ini ke arah Artakus yang sedang menunggu bersama-sama beberapa orang lelaki , duduk di sebuah meja bulat. Di depanku kini adalah Atinius, Jeenusix, Darumir, Iotan dan Artakus. Angkatan perangku di belakang, dalam keadaan senang diri. "Salam ke atasmu, Artakus. Pertemuan ini telah menunjukkan takdir di pihak kita. Ota telah kutumpaskan. Pintu Erta telah dikunci. Permata aurorius kini terlepas dari garapan Herakos. Sarium telah kau takluki. Dan kini, lihatlah.seluruh Aurora kini kembali bersatu di bawah kepimpinanmu, wahai Artakus," pintas Azkram memulakan bicara. "Selamat pulang Azkram," balas Artakus lantas menyambut dengan pelukan mesra dan menyambung. "Bicaramu benar untuk setakat episod ini. Tetapi apakah takdir kemenangan akan sentiasa bersama kita selepas ini memerlukan sesuatu yang luarbiasa untuk disiasahkan. Morrok telah menggandakan kekuatan. Seluruh bala tentera jembalang menyertai mereka. Gendang perang Morrok kini telah berbunyi diiringi sihir Yisykrak yang ngeri. Peperangan kali ini amat besar. Dan pasti berlaku." Aku menarik nafas panjang mendengar keluhan Artakus. Deria betazoid ku membaca isihati Artakus. Takut? Aku tidak nampak walau seurat benang ketakutan di hatinya. Manusia di depanku ini telah diutuskan oleh Kitab-kitab Id untuk membela nasib Auroran dari cengkaman Morrok dan menyelamatkan permata Aurorius dari persengketaan Merkia Herakos. Dia menakluk Urdakis hanya dengan sepertiga kekuatan berbanding Morrok. Dialah yang membolehkan angkatan perang Jeenusix merempuh Kota Sarium dengan membuka pintu kota bersendirian dari dalam. Dialah yang telah menundukkan Karum dan menjadikan seekor naga merah sebagai sahabat. Lojistiknya sebagai seorang Artakus telah disediakan oleh Merkia dengan item bersoket kesaktian dan mistik. Dia pemilik Arkus, pedang Arasis dan dia menjadi tuan kepada Ilia, raja segala kuda dari kayangan. Dia bukannya takut, tetapi bimbang jika segala siasah tidak menjadi dan dadu-dadu percaturannya tumbang. Aku boleh merasakan berat bebanan yang dipikulnya untuk membela nasib seluruh Aurora yang kini terletak di tangannya. Aku menghentikan fungsi deria betazoidku untuk mendengar kata-kata Azkram pula. "Usah kau bimbang , wahai Artakus. Kau tidak bersendirian dalam kegentingan ini. Biarkan Morrok dengan kekuatannya dan Herakos dengan siasahnya. Apa saja yang mendatang, kebijaksanaanmu akan mengatasi segalaa-galanya. Serahkan segala Yisykrak kepadaku, akan kumatikan segala sihir yang melindungi tentera Morrok dan segala sihir yang membelenggu angkatan tentera Aurora. Aku pasti kau tidak gentar dengan bilangan mereka yang ramai kerana kau telah membuktikan bahawa kemenangan boleh dicapai dengan kebijaksanaan dan semangat juang yang tinggi," ujar Azkram sambil melihat ke arahku lantas menyambung, "Untuk menghadapi tentera-tentera jembalang, aku perkenalkan kau seorang Zukkiri dari kelana Tarsonis yang akan memudahkan siasahmu". Aku mengerti maksud Azkram lantas menghulurkan tanganku kepada Artakus. "Salam perkenalan buatmu, Artakus." aku memulakan bicara perkenalan. Artakus menyambut tanganku dengan rasa hormat. "Namaku Orzaily, seorang Zukkiri yang mengetuai armada perang Diraja Tarsonis. Aku datang sebagai kawan kepada pihak Aurora. Pengutusan aku ke sini oleh Maharaja Tarsonis VI adalah untuk menghalang Herakos yang memperalatkan Morrok dan jembalang untuk mencapai niatnya yang memusnahkan. Kita berhadapan dengan musuh yang sama, Artakus. Dan kita juga tinggal dialam yang sama. Menerima cahaya Arasis di kala siang dan berkongsi keindahan Osria di kala malam. Maka, perikatan ini adalah sebagai sumbangan kami untuk mempertahankan alam ini dari dimusnahkan Herakos. Ku persembahkan seluruh armada Antiga Prima kepadamu," bicaraku tersusun dan berhati-hati. Cebisan harapan mula terbit dari ungkaian persoalan yang semakin terjawab. Wajah kesangsian kini ditinta rasa lega lantas mengundang sedikit kegembiraan dalam mengerti. "Kekuatan Antiga Prima cukup untuk menghapuskan segala jembalang. Aku diiringi sepuluh ribu tentera di bawah empat unit Qarzaig yang akan setia bersamamu, Artakus. Darah kami adalah untukmu. Perisai Gothic kami akan mempertahankan seluruh Aurora dari sihir jembalang durjana. Pedang kami akan memisahkan nyawa mereka. Antiga Prima takkan mengecewakanmu, kerana ia belum pernah tumpas semenjak dua ribu tahun dahulu.dan kerana itulah aku digelar Zukkiri, yang bermaksud Pahlawan Yang Menang," tambahku, membiarkan manusia-manusia ini tahu kemampuan kami mampu mengatasi seluruh angkatan Herakos. Letakkan saja kami di barisan hadapan. Sekiranya ada musuh menyerang dari jauh, panah kami akan mengenainya terlebih dahulu. Kiranya musuh datang berdepan, Zaradilan kami takkan biarkan mereka bernyawa selepas itu. "Adalah tidak adil apabila hanya kedapatan satu bangsa sahaja yang mengambil peranan utama di dalam menyelamatkan alam ini. Maka dengan itu, terimalah keikhlasan kelana Tarsonis, untuk berjuang di sebelahmu. "...tambahku, diikuti dengan sebuah senyuman yang mula terukir di bibir para wazir yang lain. Aku sebenarnya mempunyai misi yang harus kuselesaikan di sini.Dewi Zurenna, dia masih belum kutemui... AntigaPrima :Pertemuan diLembahArsilliath . HembusanudarasegarpergununganArsiliathmenciptaruangpercubaanuntukmewujudkansatukedamaianjiwayang sementara didalamhatiku .Akumenarik nafassedalammungkinlantasmemenuhisegenapperspektifdadakudenganbauwangianorkid liarsertakehijauandedaunhutan .Namun ,kehadiransejumlahadrenalin didalamsistemtransmisisel -selplasmamenggagalkansegalapercubaanalamsemulajadiuntukmerendahkankadardenyutanjantungkuyangsemakinberdebarmenunggu masauntukbermulanyasebuahpertempuran besar.Akudiiringikeempat -empatpenghuluQarzaigAntigaPrima.Wulfkar ,Alpisa ,Vladarek danKantaraberhati -hatiberjalandisekelilingkumembentuksatujaringansihirhalimunan ,memustahilkandirikamidaripadadilihatolehmusuh . Akuterusmenyusuricelahanpokok-pokokhutandenganaurawaspadayangtinggi .Seluruhrangsanganbetazoidkutertumpukepadasebarangpergerakan . Secaratiba -tiba,akubolehmerasakanratusanpasang matamemerhatikanpergerakankudenganseribuancamantersembunyi .PedangZaradilankubergegarmintaditanggalkansarungnyaagardapatmenyerapbahayayangmungkinmenjelma .AkumemandangkearahVladarek danmengerutkankeningku . "Zukkiri,adasesuatuyangmengganggukosmiksihirku ,"ujarnyaresahsambilmemandangke ataslangitmemerhatikanpergerakanawan . "Kehadiran kita bukan lagi rahsia," bisik Kantara lantas menegangkan panahnya. Wulfkar, Alpisa dan Vladarek turut meningkatkan tahap kesiagaan diri. Zaradilan dikeluarkan dari sarungnya. Serentak dengan itu, guruh pun berbunyi diikuti kilat sabung menyabung. Seluruh peterana alam kini bertukar menjadi suram. Dan dari jauh, aku dapat melihat sejalur cahaya putih menuju deras ke arahku. Pasti penunggu istana Maharaja Akkordeon, Ungkrai. Tiada sesiapa pun yang akan mengambil jalan untuk berhadapan dengannya jika boleh. Namun aku tidak punya pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan Dewi Zurenna, empayar Akkordeon harus ku tujui. Dan ini bermakna Ungkrai harus diuruskan terlebih dahulu. Untuk itu, aku telah memilih Wulfkar, Alpisa, Vladarek dan Kantara untuk membantuku berhadapan dengan makhluk jembalang itu nanti. Sementara itu, seluruh Antiga Prima kini berada di bawah kepimpinan Artakus. Menanti gendang perang berbunyi di Lembah Akturius, manakala aku pula harus menyelesaikan satu misi peribadi di Arsilliath. Cahaya putih itu semakin dekat, membawa seribu ancaman dalam bentuk kemusnahan yang tidak aku ketahui. Semakin dekat cahaya itu menuju ke arah ku, aku merasakan segala urat dalam tubuhku menjadi kaku lantas mengikat segala pergerakanku. Radius cahaya pemandanganku menjadi semakin kabur. Kesaktian perisaiku pula semakin lemah. Hebat. Itulah yang boleh aku gambarkan mengenai kekuatan sihir ini. Serangan musuh bermula dengan sihirnya. Namun, aku tidak mengesan sebarang bau busuk dari sihir itu, malah aku merasakan keharuman bunga-bunga Aurora terlekat dalam lubang hidungku. Kekeliruan mewarnai pemandanganku yang semakin kabur lantas memincang keputusan untuk bertarung. Hanya sihir seorang Karman sahaja yang berbau harum seperti ini. Namun, aku mengambil langkah untuk bersedia sekiranya diserang. Mindaku cuba memikirkan siapakah Karman yang masih wujud di dunia ini selain Azkram. Atau, mungkin ini adalah helah semata-mata. Zaradilan semakin erat dalam genggaman kananku, manakala perisai Gortik disoket kemas dalam genggaman kiriku. "Bersedia wahai Qarzaig ku semua!" jeritku meningkatkan waspada mereka. Ketika itu juga, cahaya putih tadi menjadi seperti satu tangan besar mencakari segala apa yang ada di depannya. Sinar cahayanya yang terang menyilau pemandanganku. Aku masih gagal mencari subjek sasaran di dalam cahaya putih itu. Vladarek memulakan serangan. Busurnya dilepaskan manakala Kantara cuba memecahkan struktur cahaya putih itu dengan sihirnya sambil dibantu oleh Wulfkar dan Alpisa. Bunyi letupan yang kuat kedengaran apabila dua kuasa sihir itu bertemu diikuti sebuah letupan lantas menerangi setiap inci ruang pertempuran. Dalam masa itu, cahaya putih tadi berpecah-pecah membentuk seperti satu rantai halimunan dan terus mengikat segala pergerakanku. Aku seolah-olah bagaikan ditekan oleh sebuah batu besar yang cuba membenamku ke bumi. Kesemua Qarzaigku telah terpelanting ke kawasan sekitar, ditepis bagaikan seperti seekor nyamuk oleh kuasa cahaya putih itu. Mereka tewas.... Aku mengangkat Zaradilan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan. Kemungkinan yang tiada kebarangkalian untuk selamat. "Bagaimana seorang Zukkiri boleh tersesat jauh hingga ke Arsiliath??" Tiba-tiba kedengaran satu suara besar, lembut dan tegas menyoalku lantas menghentikan segala pergerakan yang mengancamku. Aku rasakan keadaan seolah-olah sudah selamat. Belenggu sihir ditubuhku kian lenyap. Suasana menjadi hening. Bahang pertarungan tadi telah lenyap ditelan gema suara tersebut lalu mengikat kesunyian alam. Keharuman bebunga Aurora semakin kuat disekitarku, membunuh segala ketegangan seketika tadi dan membawa seribu ketenangan dan kedamaian jiwa. Dari kepulan asap putih, muncullah seorang lelaki tua berpakaian serba putih. Berjanggut, bertubuhnya tinggi dan cengkung dimamah usianya yang jelas telah lanjut, barangkali sewindu berganda dasawarsa. Dia memakai jubah badar raja yang labuh ke hujung kaki, berbelah tepi. Tangan kirinya menggenggam tongkat sepunggur yang dihayunnya dengan kemas dan selesa, penuh dengan keyakinan yang diasah oleh kebiasaan. Wajahnya redup, dijana catur-catur pengalaman yang bisa membuatnya dihormati. "Perkenalkan dirimu...!" arahku kepada orang tua itu. Dia memandangku dengan pandangan yang tenang, Vladarek, Alpisa, Wulfkar dan Kantara mula bangun dari kejatuhan dan berdiri di belakangku dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Aku masih menunggu jawapan si tua itu. "Dan engkau tidak dapat membezakan keharuman sihir seorang Karman, wahai Zukkiri?" soal lelaki tua itu, cuba menggugat pengetahuanku mengenai sihir dan selok belok ilmu kesaktian. Sebenarnya, aku memang keliru dengan perbezaan sihirnya yang unik dan tidak terjangkau oleh deria betazoidku. Pendirian diplomatikku berubah. Aku mengesyaki dia bukan seorang Yishkrak. Bukan musuh. "Akulah ahli sihir yang menjadikan kuasa Arasis sebagai asas kesaktianku. Akulah ahli sihir yang membawa sekali keharuman bebunga Aurora. Dan akulah ahli sihir yang bergelar Karman, ..... Karman Arasis yang digelar Nazril!" ujar lelaki tua itu sambil mengurut janggut putihnya. "Dari Merkia, aku datang kepadamu untuk menjunjung titah Arasis. Membantu membebaskan Dewi Zurenna dari sumpahan Maharaja Akkordeon. Bukankah itu misimu, wahai pahlawan Tarsonis?" sambungnya. Aku menyarung kembali Zaradilan ke dalam sarungnya. Qarzaig yang lain turut menurunkan senjata masing-masing, menghilangkan segala maksud ancaman dan mencipta mesej keamanan untuk seorang sahabat baru yang hebat. Perlahan-lahan aku melangkah ke arahnya. "Nampaknya, tujuanku ke Arsilliath kau tahu. Sihirmu pula memang dapat kubezakan kelainannya. Demi Arasis, aku terima tawaranmu sebagai sekutu. Tetapi, sebentar tadi bukanlah cara sebenar menyambut seorang sahabat , wahai Nazril," ujarku pula menjawab segala persoalan sinis si Karman sebentar tadi lantas menghulurkan tangan kepadanya. Nazril tersenyum, setelah mengujiku. "Gembira dapat bertemu denganmu semula, Nazril". Kami mengorak langkah menuju ke Kota Akkordeon. Zurenna, aku datang untukmu! Antiga Prima :Kemusnahan Gerbang Safrikin ?Akhirnya aku sampai di plat Harogath, lembah terakhir yang mendatar ke pintu Kota Akkordeon. Deraian salju nipis yang jatuh dalam gerak perlahan bagai menyambut kedatangan yang tidak diundang di bumi terjajah yang penuh dengan tangisan ini. Aku menyisir rambutku yang berpasirkan salju, menggugurkan beberapa butir salji nipis yang jatuh lantas terselit dalam helaian rerambutku yang panjang. Diusir jatuh ke bumi, kerana kehadirannya juga tidakku undang. "Lihat, Akkordeon di depan mata!" ujar Alpisa sambil memacakkan javelin titaniumnya ke tanah. Aku menarik nafas panjang, memenuhkan ruang dadaku dengan udara segar Harogath. Kakiku bagaikan terpaku apabila mataku takjub melihat keanggunan sebuah kota batu gunung yang amat besar dan unik binaannya. Tersergam indah di puncak bukit, kota itu dibina bertingkat-tingkat persis sebuah menara besar dan tinggi dari jauh. Terdapat satu koridor bertepi yang sederhana lebar, menghampar panjang dan semakin meninggi menuju ke arah pintu masuk, memungkinkan dua pedati berkuda berselisih sekali lalu. Pintu masuknya pula dikepit oleh dua buah menara bersegi empat, berwarna agak kelam ditumbuhi lumut hitam yang mati. Manakala di belakang pintu masuk utama tersebut berdiri gagah sebuah menara balistik separa bulat yang besar. Susunan koridor yang panjang, pintu masuk yang besar serta tiga menara di tepiannya itu membentuk satu formasi laksana sebuah gerbang. "Gerbang Safrikin," kata-kata itu keluar dari mulutku. Ada satu perasaan gerun di sebalik kekaguman yang cuba diluahkan. Nazril menghentikan langkahnya, memerhatikan kota itu dengan satu pandangan hitam. Kami turut mengikut jejak Nazril, melihat sambil melakukan perhitungan peribadi mencari siasah yang mantap untuk menggempur kota ini hanya dengan kekuatan seorang Karman, seorang Zukkiri dan empat orang Qarzaig yang setia bersamaku. Kami sememangnya telah bersedia untuk menerima apa sahaja kemungkinan dan risiko yang mendatang, kerana hanya itulah pilihan yang ada demi untuk merampas dan menyelamatkan kembali Dewi Zurenna yang disembunyikan di dalam kota ini. Dan masa tidak diberikan terlalu lama kepadaku untuk menyelesaikan misi ini. Ah, peperangan semakin hampir di lembah Akturius. Kehadiranku amat diperlukan oleh orang-orang Aurora, lebih-lebih lagi oleh seluruh armada Antiga Prima yang kini di bawah kepimpinan Artakus. Aku tidak akan memungkiri janji untuk berperang di sebelahnya kelak, mempertahankan seluruh kelana Aurora daripada genosid Morrok durjana. Itulah titah yang kujunjung, ikrar yang kulafaz bersama sumpah yang setia di hadapan Maharaja Tarsonis IV tatkala baginda menyerahkan Zaradilan kepadaku?pedang Tarsonis yang membawa seribu kekuatan serta ketangkasan Zukkiri-zukkiri yang pernah gugur tatkala bersabung nyawa bergolak gadai mempertahankan Kerajaan Tarsonis di medan perang semenjak beribu-ribu tahun yang lepas. Semangat mereka kini bersamaku, dan tidak pernah mati serta sentiasa menghidupkan api perjuanganku dalam setiap pertarungan. "Gerbang itu harus diselesaikan terlebih dahulu," ujar Nazril tanpa melihatku. Pandangannya masih difokuskan ke arah kota batu gunung itu. "Adakah kota ini masih berpenghuni? Siapakah yang mendiaminya kini?" soal Kantera, Qarzaigku yang termuda. "Krawk," jawabku sepatah. Kantera menyambut jawapanku itu dengan mata yang semakin mengecil dan kening yang semakin berkerut. Aku faham. "Makhluk-makhluk hodoh berdarah hitam, bertaring, berduri di seluruh badan, bermata merah serta bertanduk dari dunia hitam yang memuja kegelapan. Bersayap, tetapi tidak boleh terbang," tambahku tersenyum. Namun, senyumanku itu menambahkan kerut di dahinya. "Sekutu Herakos?" soalnya lagi. Vladarek yang dari tadi mendengar mula menunjukkan minat untuk mengambil bahagian mencurahkan ilmu pengetahuan kepada Qarzaig kesayanganku ini. Tetapi minatnya tidak serius. "Herakos tidak mempunyai sekutu yang tampan dan kacak seperti kita," pintas Vladarek, memberikan satu jawapan yang membuatkan aku dan Wulfkar tergelak kecil. Kantera hanya tersenyum. "Semenjak empayar Kyri yang memerintah Kota Akkordeon jatuh digempur tentera Krawk, seluruh kota ini telah menjadi sarang mereka. Krawk hanya bertuankan Ungkrai, sang penunggu kota yang telah mengkhianati seluruh kelana Kyri dengan membuka pod sihir di Gerbang Safrikin. Dan kerana itulah, Kota Akkordeon jatuh dan seluruh penghuninya disembelih dan dimakan, " ujarku tanpa senyuman seperti tadi. Serius. Aku menyisir rambutku, menepis gumpalan salji yang semakin menebal. "Dan itulah matlamat pertama kita untuk memasuki kota ini. Memusnahkan Gerbang Safrikin terlebih dahulu dengan menewaskan Ungkrai yang menjaga pod sihir," celah Nazril. "Terdapat sembilan pod sihir yang harus dinyahaktifkan sebelum kita boleh memasukinya. Namun, dengan membunuh Ungkrai, secara tersendirinya kesemua pod itu akan lenyap dan kita hanya memerlukan pedang dan perisai sahaja untuk berhadapan dengan Krawk yang hanya kuat pada bilangan,". "Apakah Krawk tidak memiliki sebarang kekuatan magis?" soal Kantera lagi. "Tidak. Tubuh mereka bisa dicederakan dengan tikaman pedang dan tusukan panah. Cuma mereka sangat rakus dan bilangan mereka pula ramai. Namun, berhadapan dengan mereka ku kira bukanlah satu masalah lagi untukmu, sekiranya kita berjaya menewaskan Ungkrai." "Mengapa pula demikian?" "Kerana Ungkrai adalah nyawa mereka. Membunuh Ungkrai akan menghapuskan seluruh Krawk dari dunia ini. Dan kerana itu, kita harus menewaskan Ungkrai secepat mungkin," jawab Nazril memenuhi pertanyaan Qarzaigku itu. Aku mengerti apa yang cuba dilakukan oleh Kantera. Menganalisis. Mengenalpasti siapakah musuh kita akan memberikan kita kekuatan untuk berhadapan dengannya. Menilai kekuatan musuh pula, akan menjadikan kita lebih yakin dengan kemampuan diri. Kemudian, barulah satu percaturan siasah yang mantap dapat diilhamkan, hasil daripada persebatian antara kebijaksanaan dan kekuatan. Aku kira, persediaan peringkat pertama untuk bertempur telah selesai secara peribadi bagi dirinya. Keadaan kembali menjadi sepi. Fikiran masing-masing melayang jauh ke dalam kota itu. Sesekali angin sejuk bertiup nyaman bersama kesejukan Harogath yang dilanda salji rahmat. Dalam masa yang sama, aku juga turut membuat perhitungan agar pertempuran yang bakal terjadi nanti tidak memakan masa yang lama supaya risiko pertempuran tidak menjadi terlalu berat. Menghadapi seluruh angkatan perang sebuah kota dengan kekuatan enam karektor pahlawan adalah sesuatu yang mungkin gila dan tidak munasabah. Namun, aku yakin dengan kemampuan yang tersendiri, setiap Qarzaigku mampu membentuk satu kombinasi pertahanan dan serangan yang mantap dan padu apabila bertarung secara bersama. Malah, dengan kehadiran Nazril, restu Arasis bersama kami. Kami meneruskan langkah menuju ke koridor masuk kota Akkordeon. Semakin kami menghampirinya, Zaradilan bergegar kuat dalam sarungnya, minta dikeluarkan. Angin pula bertiup sayu, meniup rerambutku yang sekali-sekala dilekati salju. Langkah Nazril mendahului kami, tenang dan yakin walau jubah putihnya menggerbang dihembus sang bayu. Tiba-tiba, dia menghentikan langkahnya tatkala kami hanya sepelaung dari koridor masuk. Dia memandang ke timur, melihat Arasis sudah mula terbit dan cahayanya sesamar pelita yang cuba menelan gelita sang malam. Aku melihat dia mengecilkan mata dengan wajah tuanya yang dipenuhi gegaris usia, kemudian mulutnya terkumat-kamit persis mengungkap kalimah sihir dan seraya itu menganggukkan kepalanya. Dia seolah telah mengesan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh pandangan biasa. Lantaran perasaan ingin tahu, aku menyuarakan pertanyaan kepadanya. "Kita tidak bersendirian," ujarnya ringkas. "Apakah maksudmu, wahai Karman?" soalku pula meminta penjelasan. "Merkia sedang memerhatikan kita, bersama Azkram dan Artakus di Lembah Akturius," jelas Nazril kepadaku. Pasti melalui bebola kaca milik Merkia. Bukankah dia yang telah menghantar Nazril kepadaku, dan pertemuan dramatik kami di Lembah Arsilliath tempoh hari adalah di bawah perancangannya. Sekurang-kurangnya, mereka turut memberikan sokongan moral kepada kami dari jauh. Tiba-tiba, angin bertiup semakin kuat.Jeritan mula kedengaran dari arah kota diikuti bunyi hiruk pikuk yang mengerikan. Deria betazoidku mengesan bahaya, lantas tangan kananku menghunus Zaradilan keluar dari persarungannya. Kesemua Qarzaigku turut mengikuti jejakku. Aku memerhati ke arah kota, mencari sebarang pergerakan musuh yang masih belum nampak. Vladarek mula mengeluarkan beberapa batang skepter kromiumnya yang bercerai dan memasangnya bersambungan menjadi satu platform ringkas. Kemudian dia mencantumkan panah stagnan miliknya di pertengahan platform itu, lantas menjadi sebuah katapult yang mampu memberikan jarak sasaran yang lebih jauh dengan momentum yang lebih kuat pada halaju yang tinggi. Dia kini bersedia mensasarkan anak panah vulkirnium, sejenis anak panah tersihir yang mencari sasaran sendiri dan punyai tahap kemusnahan laksana halilintar. Jaringan sihir yang telah membelenggu seluruh kota tersebut tidak akan membenarkan panah biasa menghujaninya. "Masanya telah tiba," ujar Nazril dalam kelantangan suara yang ditelan angin. "Vladarek, binasakan menara tengah, Ungkrai pasti di situ!" arahku kepada Vladarek, menegaskan kembali betapa pentingnya menewaskan penunggu kota itu secepat mungkin sebelum lebih banyak makhluk-makhluk Krawk itu keluar melalui koridor kota dan menuju ke arah kami. Sememangnya, itulah siasah Nazril. Menggempur pertahanan sihir kota dari jauh, memaksa Ungkrai keluar secepat mungkin sementara kami bertahan disini sambil menanti kedatangan Krawk yang akan muncul pada bila-bila masa sahaja. Vulkirnium yang pertama dilepaskan menghala ke arah menara ballistik, meninggalkan desingan bingit laksana petir yang menyambar di depan mata. Semakin jauh panah sakti itu melayang, semakin mampan ia menuju ke sasarannya dalam kepantasan yang amat, memustahilkan sebarang perisai pun menahannya. Tatkala ini, ia kelihatan umpama cahaya putih persis halilintar deras membelah udara, dan cahaya putih itu kini berpecah-pecah sehingga menjadi tujuh bahagian yang semakin menghampiri sasaran. Bumi seakan bergegar ketika kesemua vulkirnium itu menghentam dinding menara ballistik satu per satu, diiringi bunyi kuat dan letupan api yang dahsyat. Batu-batu gunung yang selama ini diikat jitu menjadi susunan geometri kota kini berterbangan, laksana debu kering yang ditiup angin dataran. Dalam gerak perlahan, menara ballistik itu mula dilanda keruntuhan ketika makhluk-makhluk Krawk itu mula muncul dari celah kota, berlari rakus menuju ke arah kami. Semakin lama mereka semakin hampir, dan semakin jelas wajah mereka kulihat. Tubuh hitam mereka seperti manusia kerdil yang cacat di sana sini dan kelihatan bongkok, berlari melalui koridor kota sambil galak menjerit kemarahan. Pandangan mata merah mereka dengan kepala yang bertanduk satu di depan persis sang singa yang kelaparan daging merah berdarah. Tatkala itu, telingaku pekak mendengar satu jeritan besar yang amat mengerikan. Seluruh kota yang bermandi api kini bergegar sekali lagi, seakan terdapat seekor naga besar yang ingin keluar dari belenggu perut kota. Dan Krawk itu semakin menghampiri! "Ungkrai sudah mula bangun!" jerit Nazril, memegang erat tongkat sepunggurnya yang dihalanya ke atas. "Orzailly! Halang mereka daripada mendekatiku!" jeritnya lagi dan terus duduk bersila di atas tanah lalu memejamkan matanya dan mula membaca mantera. Maka, bermulalah tugas Karman Armorikus ini menguruskan Ungkrai. Manakala tugasku bersama yang lain ialah melindungi Nazril daripada serangan Krawk, dan melengahkan Ungkrai sementara memberi Nazril masa yang secukupnya untuk dia menyelesaikan mantera sihir khas untuk membunuh Ungkrai. Vladarek melepaskan vulkirnium kedua, yang kemudiannya telah berpecah menjadi sembilan cahaya kuning emas. Kali ini sasarannya setiap satunya ialah ke arah kesembilan pod sihir Gerbang Safrikin yang mesti dimusnahkan sebelum Nazril bisa meragut nyawa Ungkrai. Dalam masa yang sama, Kantera, Wulfkar dan Alpisa bertubi-tubi melepaskan panah masing-masing ke arah musuh yang berduyunan menuju ke arah kami melalui koridor kota, laksana segerombolan semut yang melintasi sebatang dahan, dan mereka semakin mendekatiku yang berdiri di depan bersama Zaradilan dan perisai gothic yang kemas dalam genggaman. Kelihatan beberapa puluh ekor Krawk rebah ditusuk panah dan jatuh ke bawah gaung. Namun, asakan mereka yang lain terlalu ramai untuk dijamah oleh panah-panah Qarzaigku. "Mereka bersenjatakan kayu dan logam!" seru Wulfkar berdasarkan pemerhatiannya yang semakin jelas, memberi amaran. "Dan bertubuh tanpa perisai!" balas Kantera, masih lagi dengan analisisnya. Mungkin yang terakhir dan lebih berbentuk kesimpulan barangkali. "Bersedia wahai Qarzaigku sekalian! Lindungi Nazril!" tempikku tatkala melihat musuh hanya sepergalah dariku. Serentak dengan itu, panah dijatuhkan dan senjata masing-masing dihunus keluar. Buat pertama kalinya semenjak meninggalkan Tarsonis, aku menghayunkan Zaradilan ke arah musuh di depanku sambil tubuhku berpusing-pusing mengelak terjahan musuh yang menggila, menangkis beberapa senjata logam dan belantan duri yang dihalakan ke arahku, dan disambung dengan hayunan kedua yang berjaya memutuskan kepala tiga ekor Krawk. Ternyata aku masih belum kehilangan rentak tarian bertarung bersama keserasian Zaradilanku yang kini sudah mula bertintakan darah hitam. Hayunan seterusnya menyebabkan seekor lagi Krawk gugur di tepiku, sebelum perisai gothicku menepis beberapa tikaman belantan musuh dan diakhiri dengan robekan pedang di dada mereka. Kemudian aku berpusing ke kanan sambil menarik Zaradilan dari dada musuh, memberikan satu tendangan di perut seekor Krawk yang cuba menerkamku dari arah belakang. Dalam masa yang sama, aku menghentakkan perisai gothic ke kiri di kepala seekor Krawk yang pening-pening lalat sebelum aku menikam leher Krawk yang kuterajang sebentar tadi. Untuk Krawk yang masih pening-pening lalat tadi, aku menghadiahkannya satu tumbukan tangan kananku yang masih menggenggam Zaradilan, lalu menyebabkan ia tersungkur jatuh. Kemudian Zaradilan kuhayun ke kiri menikam belakang seekor Krawk, diikuti satu hayunan ke depan, ke atas dan ke bawah, menjadi seperti satu formasi tarian yang berjaya meragut nyawa lima ekor Krawk sekaligus. Namun, tumpuanku masih terhadap Krawk yang pening-pening lalat sebentar tadi di belakangku. Deria betazoidku mengesan pergerakan terbarunya cuba menghayunkankan belantannya ke arahku. Aku tidak mengelak, tetapi hanya menundukkan sedikit kepalaku untuk memberikan laluan sebatang panah vulkirnium melintasi kepalaku lalu menembusi tubuh Krawk itu. Aku menjeling ke arah Vladarek sepintas lalu sebelum meneruskan pertempuran. Dalam masa yang sama, kulihat Alpisa begitu lincah menghayunkan javelin titaniumnya di sebelahku, memancung dan menikam tubuh musuh manakala Wulfkar pula adalah yang paling bersemangat dan agresif sekali, dengan jeritan kuat dan laungan nyaringnya yang penuh dengan perasaan kegeraman dan api kemarahan. Ganas. Kantera pula kulihat begitu tangkas dan lincah menghayunkan Tharsis, pedang kuprum dua tangan yang panjang dan ringan. Dan Qarzaig muda ini hanya memiliki satu tabiat teknik membunuh musuh, pemenggalan kepala. Hampir semua Krawk yang gugur kerananya kulihat tidak berkepala lagi. Kerana itulah dia tidak pernah kuberi sebarang tugasan untuk menangkap hidup-hidup seseorang musuh, kerana biasanya apa yang akan dipersembahkan kepadaku hanyalah kepala. Musuh semakin hebat mengasak, semakin bertambah bilangannya. Dan aku semakin tertekan. Tumpuan Qarzaigku mula berubah ditenggelami musuh yang ramai. Pertahananku terhadap serangan mereka laksana menahan air dari empangan pecah. Kalori tubuhku terbakar di tahap maksimum dalam setiap sel otot lantaran kardiovaskular yang semakin meningkat. Arus respirasiku bertambah, nafasku sekencang taufan, mengikut rentak jantung yang semakin ligat berdegup mengepam darah segar ke segenap pelusuk tubuh, membawa oksigen dalam setiap plasma merah. Ah, mataku bertukar putih laksana mutiara yang berkilau dalam bayang air. Deria betazoidku kini mengatasi peranan otak dan saraf tunjang, mengawal setiap pergerakanku, hayunan Zaradilan dan rentak kakiku yang menjadi semakin lincah mengadaptasi tarian perang. Mengelak, menepis dan menikam. Dalam keadaan ini, genggaman pedangku menjadi semakin erat, momentum hayunan Zaradilan bertambah berat. Aku semakin tangkas, semakin kuat tatkala rentak Qarzaigku yang lain semakin ke belakang. Aku ibarat dibantu oleh suatu kuasa, yang mungkin datangnya dari Zaradilan, persis terserunya segala roh Zukkiri Tarsonis di alam barzakh yang bangkit dan datang kepadaku. Raungan perangku menelan dingin salji, mencetus bara dan menyalakan kembali semangat peperangan para Qarzaig. Arus pertempuran kembali berubah. Alpisa kembali mengorak langkah depan. Kelihatan javelin titaniumnya semakin ligat meragut. Wulfkar semakin tegar. Pertahanannya semakin mantap, dan serangannya kian padu. Vladarek dan Kantera pula kini berganding melakukan pertempuran satu-dua dalam kombinasi yang berpusing-pusing. Namun, arus peperangan tidak lama berpihak kepadaku apabila secara tiba-tiba Kota Akkordeon kembali bergegar. Dari jauh aku melihat satu letupan yang besar, merobohkan dinding kota laksana digempur gergasi besar. Dan apabila bebatu kota itu habis jatuh ke tanah bersama debu yang berterbangan, dalam pergerakan yang amat laju melayang ke arahku, aku melihat satu bayangan gergasi hitam yang hodoh dan besar, cukup menyebabkan aku tergamam dan lemah seketika. Ungkrai! Dalam asakan Krawk yang semakin menggila, arus pertempuranku kembali terhimpit, dan semakin terhimpit melihat junaman Ungkrai ke arahku. Bagai nyawa di hujung tanduk, namun berpantang ajal tidak sekali sebelum maut! Aku melibas musuh di sekelilingku, sebelum melontarkan Zaradilan ke arah Ungkrai. Tatkala Zaradilan membenam dadanya, satu cahaya putih yang amat terang, sekilau sinar teras mentari, menjamah tubuh hitam Ungkrai lalu menghasilkan satu letupan yang bisa memecahkan gegendang telingaku dan membutakan mataku. Dan pandanganku semakin lama semakin kabur, duniaku putih seketika sewaktu aku melihat bayangan Dewi Zurenna di depan mata.Kemudian segalanya menjadi gelap....